Tuesday 3 July 2012

Koleksi terbaik Rossa

LIRIK puitis disampaikan menerusi lagu berjudul Atas Nama Cinta ibarat ‘sos’ pembuka selera untuk terus melayan lagu-lagu koleksi terbaik Rossa. Album ini ada nyanyian solo dan duet bersama beberapa penyanyi popular Indonesia lain seperti Pasha Ungu, Taufik Batisah dan Broery Marantika.

Artis hip-hop Malaysia, Joe Flizzow tampil ‘bercakap rap’ dalam lagu bahasa Inggeris berjudul One Night Lover. Lagu duet berjudul Ku Pinang Kau Bismillah, Aku Bersahaja, Jangan Ada Dusta Antara Kita dan Terlanjur Cinta.


Bukan semua lagu menarik tetapi boleh dikatakan 90 peratus terutamanya lagu Kini sesuai dilayan pada waktu malam. Lagu Ku Menunggu menarik, ada melodi instrumen vokal dan ‘fill-in’ gitar akustik sesedap rasa. Tidak ketinggalan, lagu Pudar menyuntik rasa seronok buat pendengar yang sukakan irama ceria.

Leret permainan piano dengan ‘intro’ 5 nota diulang dua kali disusuli nyanyian lagu ciptaan Aji Mirza Hakim berjudul Aku Bukan Untukmu begitu romantik. Tidak keterlaluan, ‘emosi’ lagu ini mampu ‘mendera’ pasangan di ambang putus cinta berlinang air mata!

Secara keseluruhan, album The Best Of Rossa menyajikan koleksi terbaik penyanyi pemenang pelbagai anugerah lagu di Indonesia dan Malaysia itu.



Penghasilan album ini cara terbaik menikmati lagu dendangan anak kelahiran Sumedang, Jawa Barat ini. Jika ada Rossa, ia bermakna lagu cinta beremosi. Album ini wajar dibanggakan warga Nusantara dan gugusan kepulauan Asia Tenggara.


Artis: Rossa
Tajuk: The Best of Rossa
Genre: Pop
Edaran: Suria Records (M)

No comments:

Post a Comment