Baru-baru ini SS dengar ada seorang artis yang jatuh sakit. Patutlah lama juga SS tidak nampak wajahnya di kaca TV. Rupa-rupanya dia tidak sihat dan akhirnya dikhabarkan menjalani rawatan.
Selain mendapatkan rawatan pemulihan dengan doktor di sebuah hospital, SS juga diberitahu oleh sumber yang rapat dengan artis itu bahawa dia turut dirawat oleh seorang ustaz.
Lalu, sebut saja mengenai ustaz, maka SS terus tidak sedap hati dan mendapat tahu ia tidak lain daripada rawatan batin bagi memulihkan artis itu daripada permainan ilmu hitam.
Menurut sumber tadi, artis itu dikatakan terkena santau oleh orang yang dengki atau sakit hati dengannya. Eh, betul ke? SS hanya mengucap dan urut dada mendengar kisah seperti itu kerana balik-balik artis juga selalu terkena santau. Ia dengan sendirinya boleh memberi imej buruk kepada dunia hiburan tanah air.
Kalau benarlah santau itu dihantar kepada artis itu, SS harap orang yang melakukannya akan segera bertaubat dan insaf. Kita tahu, perbuatan itu adalah amat bertentangan dengan tuntutan agama kita dan hanya mengundang dosa besar.
SS percaya, sebagai manusia biasa, kita kadangkala memang tidak dapat lari dari melakukan salah dan silap. Kadang-kadang kita sendiri tidak sedar kita ada terlepas cakap dengan orang lain sehingga ia menyakiti atau menyinggung perasaan mereka yang terbabit.
Jadi ia mungkin daripada kesilapan kita sendiri yang membuatkan orang lain marah atau berkecil hati. Namun, yang tidak betulnya, orang suka mengambil tindakan yang salah untuk membetulkan benda yang sudah salah. Itulah yang selalu terjadi dalam masyarakat kita.
Apa yang SS harapkan, semoga rakan SS itu segera pulih dan kembali bertugas seperti biasa. SS juga berdoa akan kita semua akan diberi petunjuk oleh Allah SWT untuk meneruskan hidup ini dengan aman damai dan tiada prasangka.
No comments:
Post a Comment