Tuesday, 3 July 2012

Dulu kedut, kini ‘cekang’

BARU-BARU ini rakan SS ada membuat liputan sebuah persembahan hiburan di luar Kuala Lumpur. Rakan SS itu terkejut apabila berjumpa seorang artis pada majlis itu yang nampak lain. Lain bukan sebab dia tidak mesra dengan orang, namun sebab wajahnya yang dulu banyak garisan kedut, tapi sekarang dan jadi ‘cekang’ (tegang).

Kalau ikut usia dia bukan lagi remaja kerana sudah ada anak yang besar panjang, namun perubahan drastik itu sangat mengejutkan rakan artis lain yang menjayakan acara itu.


Bukan apa kata mereka, wajah tegang artis itu menampakkan rupanya macam tidak lagi ‘real’. Ini kerana dia bukannya baru sehari dua menjadi artis, jadi masyarakat sendiri sudah kenal bagaimana wajahnya dari awal dia berkecimpung dulu sampailah sekarang.

Dengan wangnya yang banyak itu, SS faham artis itu boleh buat apa saja untuk kecantikan dirinya kerana itu adalah haknya. Namun, disebabkan dia seorang ‘public figure’ dan ‘hak masyarakat’, tentulah orang di sekeliling akan tetap bercakap juga.





Dengan ‘trend’ suka meminda tubuh dan wajah yang menjadi kesukaan ramai orang hari ini, SS rasa ia adalah tindakan yang keterlaluan. Hairan juga, peminat sendiri tidak pernah pun meminta artis kita meminda wajah mereka, tapi artis menggunakan teknologi itu sebagai alasan untuk selalu kelihatan elok di mata peminat. Memang betul, masing-masing nak jaga saham agar sentiasa muda remaja, namun kesan di belakang hari kita belum tahu lagi.



Bagi SS, senang saja untuk kita melihat orang itu pinda wajah atau tidak. Kalau raut wajahnya senyum dengan tak senyum pun nampak sama saja, itu petanda ada sesuatu yang tidak kena dengan otot pada wajahnya. Satu lagi, tengoklah kalau kulit muka tegang sungguh, tapi leher nak ‘berenda’, itu juga petanda seseorang itu mungkin pinda muka. Entahlah, itu kawan SS yang pandai dalam bidang perubatan yang cakap.

Apapun, biarlah kita semua memasuki usia matang atau senja dengan cara yang ‘natural’ atau bersahaja. Kalau makan minum dijaga, tidur cukup dan lebih penting, hati selalu ikhlas, maka kesegaran itu akan tetap bersinar pada wajah kita.

No comments:

Post a Comment