Wednesday 4 July 2012

Anugerah Profima makin mantap

MEMASUKI edisi ke-9 penganjurannya, Anugerah Profima (Persatuan Profesional Pekerja Filem Malaysia) 2011 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam minggu lalu dilihat semakin baik berbanding tahun sebelumnya.

Lokasi hebat yang dipilih seakan-akan menggambarkan prestij anugerah ini yang cuba diangkat presidennya, Khir Mohd Noor bertujuan mengiktiraf tenaga kerja belakang tabir.


Bagaimanapun, senario lapuk masih berulang apabila pemenang beberapa kategori tidak muncul dan hanya menghantar wakil. Inilah yang sedikit sebanyak menjejaskan kemeriahan acara ini.

Mengotakan kata-katanya sebelum ini, Khir bertindak berani memilih PWTC sebagai lokasi penganjuran dan majlis yang berlangsung selama empat jam itu tidak menimbulkan sebarang kontroversi yang membabitkan pemenang setiap kategori.





Kehadiran kira-kira 700 tetamu sebenarnya sudah cukup gah bagi anugerah yang dilihat jauh daripada glamor ini. Bagaimanapun, sikap mereka yang ‘malas’ memberi tepukan menjadikan suasana berlangsung agak suram.



Mujurlah celoteh dua pengacara iaitu Sharifah Shahira dan Serina Redzuawan berjaya menyelamatkan keadaan daripada terus malap. Pujian perlu diberikan kepada kedua-duanya kerana berjaya menghidupkan suasana anugerah malam itu.

Seperti diramalkan, produksi terkenal yang sinonim dengan produk berkualiti terus mengungguli beberapa kategori dipertandingkan. Nama pengarah Murali Abdullah terus diiktiraf apabila menggondol kategori pengarah terbaik telefilem menerusi Ku Hijrahkan Doa.

Erma Fatima kekal hebat apabila diiktiraf sebagai pengarah terbaik drama menerusi Tahajud Cinta. Tidak ketinggalan, Rosyam Nor (pengurus produksi terbaik), Zeel Production dalam beberapa kategori, Opera Klasik dan Enuja Production.

Bagi kategori filem, Hikayat Merong Mahawangsa (KRU Studios), Nur Kasih The Movie (Primeworks Studios) dan Aku Bukan Tomboy (Skop Productions) antara yang menepati ramalan meraih beberapa anugerah yang dipertandingkan.

Agak mengecewakan pihak media apabila buku cenderamata yang disediakan tidak memuatkan senarai penuh Top 5 kategori dipertandingkan sehingga menimbulkan kesukaran untuk mengenal pasti profil pemenang setiap kategori.

Begitu juga paparan montaj senarai calon di skrin gergasi yang kurang jelas menyebabkan semua yang hadir sukar melihat kategori serta calon yang dipertandingkan.

Pada penilaian orang lain, anugerah ini mungkin banyak kekurangan, tetapi Khir mengakui lega kerana banyak peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

“Saya lihat 50 peratus kualitinya meningkat berbanding tahun sebelumnya yang hanya 25 peratus. Tahun ini, saya memantau perjalanan acara, tapi tidaklah sepenuhnya. Saya fikir bagaimana nak jadikan majlis ini hebat dan memantau persembahan yang berlangsung.

“Tak dinafikan ada juga kelemahan yang berlaku seperti tempoh masa yang diambil pemenang untuk naik ke pentas, sepatutnya diisi dengan muzik yang lebih sesuai.

“Mengenai kehadiran tetamu dan pemenang pula, ada di kalangan mereka datang pada peringkat awal, tetapi selepas itu meninggalkan majlis. Mungkin mereka ada sebab tersendiri dan ada kerja lain yang perlu diselesaikan,” katanya.

Apapun, Khir menjelaskan gembira dengan kerjasama semua pihak terutama syarikat produksi seperti Enuja Production, Opera Klasik, Skop Production, MIG Production serta ramai lagi yang memberi sokongan padu dengan membeli meja yang disediakan.

“Orang nampak sesetengah meja kosong, tapi sebenarnya ia sudah ditempah. Cuma saya susah nak beri jawapan kenapa mereka tak dapat menghadirkan diri. Saya turut sediakan meja untuk pekerja belakang tabir, tapi ada di kalangan mereka tak datang.

“Sepatutnya mereka hadir beri sokongan kerana anugerah ini penting untuk mengangkat martabat mereka dalam seni. Inilah juga sebab saya pilih buat di PWTC kerana nak menteri (Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim) tengok sebuah persatuan mampu anjurkan majlis anugerah di sini.

“Kali ini persatuan keluarkan kos sebanyak RM400,000 berbanding dulu hanya RM280,000. Saya juga upah seorang tenaga profesional untuk mengendalikan penganjuran ini.

“Daripada 62 anugerah sebelumnya, saya tambah lagi 4 kategori iaitu Pembantu Pengarah, Pembantu Produksi, Pereka Produksi dan Anugerah Khas Juri,” katanya yang turut mengeluarkan kos sebanyak RM75,00 untuk set pentas, pencahayaan dan persembahan artis.

Dalam pada itu, Khir turut menasihatkan penerbit supaya menghantar sekurang-kurangnya empat kategori penyertaan bagi melayakkan mereka muncul pemenang kategori drama dan filem terbaik.

Mengulas kesukaran yang dilalui pihak media pula, Khir memberitahu perkara ini tidak dapat dielakkan kerana ada penyertaan daripada produksi diterima pada saat akhir.


Antara senarai pemenang

Dokumentari

Dokumentari Terbaik: Komuniti Tanah Kubur/ Primeworks Studios Sdn Bhd.
Videografer Terbaik: Mohd Pilus Ghazali/ The Windchucker
Pengarah Terbaik: Datin Paduka Shuhaimi Baba/ The Windchucker


Multiple Camera Production (MCP)

Produser Terbaik: Anugerah Juara Lagu 26/Nurhul Huda Khalid
Pengarah Terbaik: Anugerah Juara Lagu 26/Nurhul Huda Khalid
Audio Terbaik: Anugerah Juara Lagu 26/ Primeworks Studios Sdn Bhd
Rekaan Set Terbaik: Anugerah Juara Lagu 26/ Primeworks Studios Sdn Bhd
Produser Teknikal Terbaik: Anugerah Juara Lagu 26/ Primeworks Studios Sdn Bhd


Iklan (Komersial)

Komersial Terbaik: Best Time Of Your Life/ Tourism Malaysia
Pengarah Terbaik: Best Time Of Your Life/ Tourism Malaysia
Pengarah Seni Terbaik: Best Time Of Your Life/ Tourism Malaysia
Sinematografer Terbaik: Best Time Of Your Life/ Tourism Malaysia


Telefilem

Telefilem Terbaik: Ku Hijrahkan Doa/ Zainuddin Mohd Ismail
Pengarah Terbaik: Ku Hijrahkan Doa/ Murali Abdullah
Pengarah Seni Terbaik: Air Mata Nur Salina/ Ramli Hassan
Penyunting Terbaik: Aku Mahu Terbang/ Neon Entertainment (M) Sdn Bhd
Pengurus Produksi Terbaik: Air Mata Nur Salina/ Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd
Solekan Terbaik: Runtuhnya Sebuah Dosa/ Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd
Audio Terbaik: Kamaruddin Jaafar/ Bisikan Dajal
Kontinuiti Terbaik: Hijab Di Kalbu/ Zeel Production Sdn Bhd
Videografer Terbaik: Aku Mahu Terbang/ Neon Entertainment (M) Sdn Bhd
Operator Kamera Terbaik: Indra Che Muda/ Hijrah Karmila
Pembantu Produksi Terbaik: Enuja Production Sdn Bhd


Drama

Drama Bersiri Terbaik: Tahajud Cinta/ Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd
Pengarah Terbaik: Erma Fatima/ Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd
Pembantu Produksi Terbaik: Rais Ismail/ Opera Klasik Sdn Bhd
Produser Terbaik: Rosyam Nor/ Suhan Movies & Trading Sdn Bhd
Pengarah Seni Terbaik: Rabiati Adawiyah Ismail/ Tahajud Cinta
Penyunting Terbaik: Helmi Mohd Salleh/ Dia Bukan Mariam
Kesan Khas Terbaik: Waris 2/ Pesona Pictures Sdn Bhd
Pengurus Produksi Terbaik: Irwan Abdul Ghani/ Opera Klasik Sdn Bhd
Solekan Terbaik: Mistik Alam Hitam/ Opera Klasik Sdn Bhd
Audio Terbaik: Mohd Shukri Jelani/ Kiah Pekasam
Videografer Terbaik: Mohd Riza Baharuddin/ Pelangi Kasih
Kontinuiti Terbaik: Tanah Kubur/ Opera Klasik Sdn Bhd
Operator Kamera Terbaik: Asra Lukmanal Hakim/ Tahajud Cinta


Filem

Produser Terbaik: Kabir Bhatia/ Nurkasih The Movie
Filem Terbaik: Nurkasih The Movie/ Kabir Bhatia
Pereka Kostum Terbaik: Rosada Abdul Hamid/ Hikayat Merong Mahawangsa
Stuntman Terbaik: Wong Choon Meng/ Songlap
Audio Terbaik: Amaludin Syukri/ Hikayat Merong Mahawangsa
Pengarah Seni Terbaik: Anuar Paharuddin & Kek Ting Lam/ Hikayat Merong Mahawangsa
Jurusolek Artis Terbaik: Karunegaran/ Songlap
Gaffer Terbaik: Ahmad Ridzuan Rahmat/ Misteri Jalan Lama
Key Grip Terbaik: Mohd Yunus Mohd Hanafiah/ Nurkasih The Movie
Fokus Puller Terbaik: Ismail Abu Bakar/ Nurkasih The Movie
Operator Steadycam Terbaik: Haris Hue Abdullah/ Songlap
Operator Kamera Terbaik: Shahizi Osman/ Nurkasih The Movie
Sinematografi Terbaik: Shahizi Osman/ Nurkasih The Movie
Kontinuiti Terbaik: Amaludin Syukri/ Hikayat Merong Mahawangsa

AnugerahTokoh Profima 2011: Link Pew Wah
Anugerah Tokoh Profima 2011 (Filem): Norman Abdul Halim
Anugerah Tokoh Profima 2011 (Akademik Filem) : Profesor Dr Abu Hassan Hasbullah

SUMBER : METRO

No comments:

Post a Comment