Sunday, 9 December 2012

Derita Maimon Mutalib


Kasih bapa sepanjang masa, kasih ibu membawa ke syurga. Sejak kematian suami 15 tahun lalu, pelakon veteran, Maimon Mutalib terpaksa menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak.

Dalam keterujaan membawa pelbagai watak, tidak kira antagonis mahupun protagonis, rupanya Maimon atau lebih mesra disapa Kak Mon menyimpan rahsia besar.
Terpaksa melupakan penderitaan kanser payudara yang dihidapi sejak setahun lalu, Kak Mon tidak mahu membebani fikiran anak-anak dengan memikirkan keadaan kesihatannya.
Namun, rahsia itu tidak mampu disimpan lagi apabila Kak Mon dikejarkan ke hospital dan harus menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Lebih teruk, kanser yang ditanggungnya kini mencapai tahap ketiga dan merebak ke bahagian tulang belakang menyebabkan tulangnya mereput dan sukar bergerak. Tambahan pula, kanser itu turut menjangkiti paru-paru dan bahagian mata kiri sehingga kelopak matanya sukar dibuka.

Pun begitu, Kak Mon dibenarkan pulang ke rumah semalam dan keadaannya kini semakin baik.
"Alhamdulillah, Kak Mon dibenarkan pulang. Setakat ini, kesakitan itu sudah semakin kurang dan Kak Mon akan berehat sepenuhnya.

"Kak Mon mengetahui penyakit ini sejak setahun lalu. Namun, Kak Mon tidak pernah menghiraukannya kerana sejak suami meninggal, Kak Mon terpaksa menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak.

"Walaupun sakit, Kak Mon terpaksa memikirkan anak-anak kerana ada yang masih bersekolah. Tanpa Kak Mon, bagaimana nasib mereka nanti," kata ibu kepada, Kamarul Syahid Keristifa, 34, Surayatul Nadia Keristifa, 32, Surayatul Natasya Keristifa, 25, serta sepasang kembar Abdul Rahman Haji Keristifa dan Abdul Rahman Haj Keristifa, 16.

Sebelum dimasukkan ke hospital, Kak Mon menjalani penggambaran drama dan dia tidak sempat menghabiskan penggambaran itu.

Masih lemah
Walaupun penyakit yang dihidapinya sangat serius, namun Kak Mon tidak sampai hati untuk memberitahu kepada anak-anak.
Menurut salah seorang anak kembarnya, Rahman, 16, dia dan adik beradik lain hanya mengetahui penyakit ibunya dua minggu lalu.
"Kami langsung tak tahu kerana mak tidak pernah bercerita mengenai kesakitannya. Lihat pada riak wajah pun, tak macam orang sakit.

"Kami memang terkejut kerana sakit itu bukanlah penyakit biasa. Pun begitu, kami bersyukur kerana mak masih lagi bersama kami dan akan menjaganya.
"Walaupun dibenarkan pulang, namun mak masih memerlukan rawatan susulan di PPUM. Buat masa ini dia masih lemah dan tidak larat untuk berjalan, hanya baring sahaja," katanya.
Minta nasib anak terbela

Walaupun kesihatannya harus diberi perhatian, namun Kak Mon lebih bimbangkan keadaan anak-anaknya.
Kata Kak Mon, dia tidak mempedulikan keadaannya kerana anak-anak lebih memerlukan perhatian kerana, Surayatul Nadia mengidap sakit buah pinggang serius dan terpaksa menjalani dialisis dalam tempoh empat jam sehari. Begitu juga pasangan kembar yang mengidap penyakit asma.

“Doktor sarankan saya beli beg sokongan dan chemo-port yang berharga lebih RM1,000 setiap satu. Namun mana saya nak cari duit banyak itu untuk beli semuanya? Saya berlakon pun, bukan dapat banyak sangat.
"Saya risau sebab sekolah dah nak buka tak lama lagi. Mana saya nak dapatkan perbelanjaan untuk anak-anak sedangkan masa saya sihat pun, kami terpaksa menguruskan duit secara berhemah.
"Ramai yang marah sebab saya sembunyikan penyakit ini. Saya tidak suka hebohkan penyakit saya kerana tidak mahu orang bercakap yang bukan-bukan. Lagipun, saya risaukan kesihatan anak-anak. Sebab itulah, selagi saya larat, saya akan bekerja," katanya yang muncul menerusi filem, Budak Pailang.
Di saat ini, tiada apa diharapkan Kak Mon selain memastikan nasib anak-anaknya terbela.
"Saya minta sangat nasib anak-anak terbela sekiranya apa-apa berlaku pada saya. Saya sangat risaukan mereka keranasaya tempat mereka mengadu.
"Walaupun kami hidup sederhana, namun saya tidak abaikan pelajaran mereka. Saya akan memastikan pelajaran tetap nombor satu.
"Saya tidak mahu orang menganggap anak artis tidak punya masa depan. Walaupun kami terpaksa bersusah-susah, namun yang penting pelajaran mereka tidak terabai," katanya yang merujuk kepada pasangan kembar yang kini bersekolah di sebuah sekolah vokasional di Klang.
Kak Mon turut berterima kasih kepada rakan artis dan pihak berkenaan yang sudi memberi kunjungan dan sumbangan kepadanya untuk meringankan beban.

SUMBER : SINAR

No comments:

Post a Comment